Salah seorang peserta, Mohd. Syawal Shafiee, 22, berkata, sudah enam bulan berlalu namun tanah seluas 2.4 hektar yang dipajak tetap tidak diusahakan kerana masih belum menerima pinjaman daripada pihak-pihak yang berkenaan.
Pemegang diploma perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia dan rakan-rakan tertarik untuk menyertai program tersebut setelah mengikuti kursus di Institut Pembangunan Keusahawan Universiti Utara Malaysia tahun lalu.
"Kami menyahut seruan kerajaan yang mahu golongan muda menceburkan diri dalam bidang pertanian.
"Namun sehingga kini permohonan kami untuk mendapatkan pinjaman untuk memulakan projek ini daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) masih belum diterima," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kunyit, Mukim Telaga Emas, Pokok Sena di sini hari ini.
Jelas Mohd. Syawal, pihak Tekun memberitahu hanya lima daripada mereka layak menerima wang pinjaman sebanyak RM30,000 seorang untuk menjalankan projek itu.
"Namun malangnya, kami dah tunggu dari bulan Disember sehingga kini dan wang pinjaman masih belum diterima.
"Kami terpaksa kumpul duit sendiri untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tanah di sini kerana jika dibiarkan terbiar semak-samun pasti akan tumbuh," katanya.
Mohd. Syawal memberitahu, projek ini turut disertai tujuh siswazah yang merupakan rakan-rakannya serta tiga belia di kawasan itu yang berminat untuk menjadikan bidang pertanian sebagai salah satu cabang kerjaya.
"Kami tinggal menyewa di kampung ini kerana berasal dari tempat berlainan dan tempoh menunggu untuk mendapatkan pinjaman adalah sesuatu yang perit.
"Kami buat kerja sambilan untuk teruskan hidup dan makanan harian hanyalah 'hotdog' sahaja namun kami tidak mahu berpatah balik kerana inilah jalan yang kami pilih iaitu untuk menjadi usahawan petani," katanya.
Kata seorang lagi peserta, Mohd. Syukri Mustapha, 22, kesemua mereka layak untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah namun mereka bercadang menyambung pengajian jarak jauh kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam bidang pertanian.
"Saya cuma harap pinjaman kami akan segera dapat kelulusan kerana kami tidak mahu impian kami untuk bergelar usahawan tani hanya menjadi angan-angan sahaja," ujarnya.
Penyelaras projek, Nordin Johan, 47, berkata, Jabatan Pertanian Daerah Pokok Sena memberi satu pam air serta 15 beg baja untuk membantu peserta projek ini namun kerana tiada wang yang mencukupi, projek itu tidak dapat berjalan.
"Saya lihat anak-anak muda ini begitu bersemangat dan kerana kerenah birokrasi yang begitu banyak, permohonan mereka untuk mendapatkan pinjaman tertangguh.
"Saya berharap pihak-pihak berkenaan akan segera mengambil tindakan bagi memastikan projek ini berjalan lancar dan tidak dibiarkan begitu sahaja," katanya.
Yang Berbangga,
FERZLY aka the 1st.